Rabu, 22 Disember 2021

Day 5 Umrah

 Day 5, 

 


Selesai solat Subuh, kami balik ke hotel untuk breakfast. Lepas breakfast kami terus ada sesi tazkirah dan bacaan tahlil untuk arwah dan doa hajat semua la kat tingkat M. Lepas tahlil ada kenduri makan nasi unta, kami pakat sedekah sorang sikit untuk tahlil ni la. First time nak makan unta ni tak sabar nak tau macam mana rasanya nanti.

 

Ustaz Andalusia kat sini memang ramai dan Ustaz yang bagi tazkirah pagi ni bukan ustaz Murtadho, ustaz ni lawak sikit, ustaz Murtadho lebih serius dan lembut. Tang last baca doa ustaz ni baca doa, sedih sangat la, ayaq mata laju macam ayaq terjun baru lepas hujan apa tu orang panggil kepala ayaq turun haaa macam tu la ayaq mata punya laju, doa dia sangat sedih, pilu dan mendayu sekali. Lagi terasa sedih kami sebenarnya petang ni dah nak berangkat tinggalkan bumi berakah Kota Madinah dan kami bakal mengerjakan umrah pertama kami harini. 

 

 Dalam hati dok berdoa semoga Allah panjangkan umur lagi, diberi kesempatan, diberi kelapangan, diberi kesihatan baik dan diberi kesenangan untuk kami ulang mai lagi kat sini. Semoga semua amalan yang kami buat selama lani diterima Allah dan semua dosa diampunkan Allah…..amin….aminnnn ya rabbal alaminnn….

 

 

Hati ni lebih berdebar-debar nak mengerjakan umrah pertama kami ni, nak kena jaga pantang larang selepas miqat nanti. Ustaz maklum dalam group whatsapp kami tentang waktu kumpul beg di lobi hotel. Ikut jadual, bag kena kumpul di lobi pukul 2.00 petang dah. Lepas Asar kami akan naik bas bertolak ke Bir Ali untuk miqat dan seterusnya ke Mekah.

 

 

 Lepas zohor, kami tak balik ke hotel, terus tunggu sampai Asar, nak ligan buat apa-apa yang patut dalam Masjid Nabawi sebab dah nak pi ni….sedihnya…..Ya Allah jemputla kami datang lagi ke sini. Berat sangat hati nak tinggalkan Kota Madinah.

Sebelum Asar kami solat sunat 2 rakaat solat sunat wida' (selamat tinggal), selepas solat Asar dah tak boleh buat solat sunat. Sebaiknya solat sunat wida' ditunaikan didalam Rawdhah. Jika tidak dapat, maka di dalam kawasan masjid Nabi yang lama. Jika masih tidak dapat, maka boleh dilakukan dimana-mana kawasan masjid. Niatnya ialah "Sahaja aku solat sunat wida' kerana Allah Ta'ala".

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir..

Janganlah jadikan pertemuan ini sebagai hari terakhir kami dengan Rasulullah..untuk menziarahinya ataupun berada disisinya. Semoga Allah mengurniakan kebajikan sihat wal'afiat dan selamat..

Selamat tinggal ya Rasulullah. Salam perpisahan wahai Nabi Allah.. insyaAllah kami akan datang menziarahimu, wahai Habibullah.. (tang ni ayaq mata laju lagi keluaq, dok tengah taip ni pun mata berabuk juga sebab teringat feel masa tu tau).

“Ya Allah, jangan jadikan ini akhir kesempatan pertemuanku dan masjid serta tanah haramnya (Nabi Muhammad SAW). Mudahkanlah aku untuk berziarah kembali dan beribadah (kepada-Mu) di hadapannya dengan mudah dan ringan. Anugerahkanlah aku ampunan dan afiat di dunia dan akhirat. Dan kembalikanlah kami ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan meraih banyak pahala,”

Lepas Asar, kami semua diam masing-masing melayan perasaan menuju ke hotel. Perasaan meninggalkan Kota Mekah dan Kota Madinah ni lain sangat. Perasaan di Madinah lain dan di Mekah lain, susah nak gambarkan, maila sini sendiri baru tau macam mana. Tah kenapa saya lebih sedih nak tinggalkan Madinah berbanding di Mekah. Saya rindukan ketenangan di Kota Madinah.

Mungkin kat Madinah lebih rilex sikit berbanding di Mekah selalu terkejar-kejar nak solat kat dataran la, terkejar nak buat tawaf sunat sebelum masuk waktu solat fardhu, takut kena hati-hati dengan pantang larang ihram dan lain-lain.

 

Kami semua berkumpul di lobi dan dengar sikit taklimat untuk mengerjakan umrah dari mutawwif dan semua berangkat naik bas. Lelaki semua dah siap pakai ihram sebelum naik bas. Boleh juga kalau nak tukar ihram di Masjid Bir Ali tapi lebih baik bersiap di hotel la kot lebih selesa. Dalam 20 minit kami pun sampai di masjid Bir Ali untuk berniat ihram atau tempat miqat bagi penduduk Kota Madinah yang nak buat umrah di Mekah.

 

Kami diminta untuk tunggu semula di pintu 5 selepas menunaikan solat sunat ihram selepas 15 minit. Berdebar-debar pula perasaan masa ni, pelbagai kisah mustika yang pelik-pelik mula berligar dalam kepala otak. Ish….tak kan tak pernah dengar kisah majalah mastika? Pi Mekah tak nampak kaabah la, pi sana sesat tak jumpa hotel la, masuk toilet habis semua barang kemas jatuh masuk dalam lubang jamban, jumpa orang jual daging babi depan masjid la dan pelbagai lagi kisah-kisah misteri dalam majalah tu. Daripada nak fikir benda merapu lebih baik perbanyakkan zikir, biar bibir basah dengan amalan zikir dan selawat je sepanjang masa terluang tu.

 

Bas kami kemudian bergerak meninggalkan Masjid Bir Ali dan sebelum bertolak tu kami niat beramai-ramai dalam bas dan bagi kaum hawa kami niat bersyarat. Contoh saya memang niat bersyarat sebab saya tak ambil apa-apa pil untuk tahan period ka apa sebab tak nak ganggu circle period dan cuma berdoa banyak-banyak supaya Allah tangguhkan tarikh period supaya dapat banyak beribadat di Masjidil Haram. Sebab tu saya agak pulun dan terkejar-kejar untuk ligan beribadat di sana selain nak pi Mekah ni kena kumpul duit yang banyak (tak macam budget pusing Europe cuma separuh harga dari budget ke Mekah) dan 1 lagi sebab takut period, tak dan nak buat sebanyak yang boleh sementara di sana. Dan Alhamdulillah, sesudah solat fardhu kami terakhir di Masjidil haram, baru saya period dan saya tak sempat nak buat tawaf wada.Perancangan dan percaturan Allah sangat cantik untuk saya, syukur alhamdulillah.

 

Bas melalui highway di tengah padang pasir yang luas di kiri dan kanan jalan. Sekali sekala nampak sekumpulan unta tengah berehat di bawah terik matahari. Unta dah biasa dengan cuaca panas. Takde masalah berjemur di padang pasir yang bahang dan berdebu. Kalau kat Australia, pemandangannya kalau lalu kat tanah lapang outback macam kat Perth, akan nampak sekawan kanggaro melompat-lompat. Lagi banyak mengembara, kita akan lebih menghargai alam. Setiap tempat ada keistimewaannya sendiri.

 

Ustaz juga maklumkan bahawa bas akan berhenti di kawasan rehat untuk makan dan solat jamak sekali maghrib dan isya. Hampir dua jam setengah perjalanan, akhirnya kami sampai di Wadi Qudaid Rest Area. Kawasan rehat kat sini amat lapang dan berada di tengah padang pasir. Selain stesyen minyak, kelihatan masjid, kedai, cafe dan restoran dimana kami akan makan di situ. Kedai tayar pun ada. Rasanya mungkin banyak bas atau kenderaan lain yang lalu kat highway ni tayar pecah sebab panas. Sebab tu la ada kedai tayar kat rest area kot. Ketika kami sampai hanya ada satu bas lain di tempat parking. Lepas tu ada lagi 2 bas sampai membawa jemaah umrah. Sebelum kami masuk ke dalam restoran, kami ke masjid untuk mengerjakan solat Jamak Takdim.

 Kebetulan masa kami sampai tu memang masuk maghrib. Semua orang berpusu-pusa masuk ke dalam toilet nak berwuduk. Memang agak crowded sangat. Bila dah habis wuduk nak ke tempat solat memang penuh padat dengan orang dah. Saya pun tunggu je la sampai depa habis solat sebab depa solat berjemaah. Geng Pakistan pula solat sampai ke luar kaki lima sujud atas kasut orang kat luar tu, ish noo….gamak no sujud atas kasut orang yang baru keluar toilet tu.Saya rasa kalau nak solat, kita kena pentingkan kebersihan juga sebab kita nak beribadah ni kot. Taktaulah wallahualam....

 

Kali ke-dua baru saya masuk untuk solat pula. Rupa round ke-2 pun ada solat Jemaah juga, ok la berbaloi tunggu tu. Solat Jemaah jamak takdim sebab semua orang kat sini musafir rasanya sebab tu imam buat isya 2 rakaat saja. Selesai solat kami menuju ke restoran. Ustaz Murtadho dah uruskan set makanan untuk group kami. Menu makanan kami adalah nasi Arab bersama ikan talapia dan ayam goreng yang diletakkan dalam talam dan beralaskan plastik. Ikut style Arab, satu meja dalam 4-5 orang makan bersama dalam satu talam. Talam kami pula, saya, mr.soulmate, makcik dan anak bujang dia (roommate mr.soulmate, kamcing bukan main lagi depa dua).

 

MasyaAllah, teramatlah sedapnya nasi Arab kat restoran ni. Ikan dia pun saya boleh makan sebab dia goreng garing, rangupla (saya bukan pemakan ikan sebab selalu tak tahan dengan bau ikan). Rasa macam tak cukup satu talam huhuhu…..Selalunya benda yang sedap memang tak banyak. Nafsu semata-mata. Tapi memang betul sedap sampaikan rasa macam nak bungkus makan kat Mekah bila sampai nanti. Jadi cukuplah makanan tadi untuk alas perut kami sampai ke Madinah nanti, insyaAllah.. Selesai makan kami berehat di luar restoran dan menunggu masa untuk naik bas semula.

Macam biasa kami 4 orang antara manusia paling awal sampai kat bas. Bukan nak kata kami ni laju ka apa (sori bukan riak) tapi kami ni kan biasa travel backpackers selalu tepati masa dan masa sangat penting. Lain pula travel group ni, kami nampak orang yang travel group ni suka melente-lente kot len dulu (maksud dia suka qalit, suka berlenggah2 walaupun dah bagitau masa yang tepat untuk naik bas contohnya). Bab masa ni memang dok perhati dari hari pertama nak naik flight lagi, boleh rujuk day 1, 30 minit lagi flight nak terbang depa boleh dok lenggang mak minah tak beratur naik flight lagi. Dan mungkin tu sebab tu juga kami ni tak boleh nak travel bergroup sangat, masa sangat penting ketika bermusafir. Kadang-kadang kita terpaksa tahan nafsu nak shopping disebabkan taknak orang tunggu kita tapi depa boleh pula pi shopping dan tak rasa bersalah pula lambat orang dok tunggu depa, begitula contohnya.

 Sepanjang perjalanan ke Kota Mekah, kami mula bertarbiah. Rasa mendayu-dayu dan dalam hati ni ada butterfly macam mana pun tak tau nak habaq. Tak sabar nak tengok depan mata Kaabah, direction untuk semua umat Islam. Hati bertambah sayu bila mengenangkan walau di mana serata dunia pun kami pi tetap akan cari arah yang satu ni. Di kaki lima di tepi jalan, di bawah pokok, di kawasan parking, di tengah kawasan orang ramai di airport (India, German, Australia), di kawasan orang ramai nak tunggu subway (Taipei Taiwan), di kawasan riadah, di tepi laut, di tepi tasik (New Zealand), di tepi sungai, di dalam tokong budha (Korea), di dalam gereja (New Zealand), depan tokong Budha dengan anjing berkeliaran kat tepi masa tengah solat (Chiang Mai Thailand), Kaki lima (Jepun), di masjid dan di hotel tetap kami cari arah yang satu ni untuk solat.

Walaupun selalu jadi tontonan umum dan selalu orang dok ambil gambar ketika kami solat, kami tetap tabahkan hati dan tebalkan muka solat je buat tak tau. Masa kat India solat kat public tu tawakal je la kalau ada orang tembak masa tengah solat pun, syahid jela sebab takut juga time tu orang Hindhu benci kat orang Islam. Tapi lepas solat, ada orang lain mai nak pinjam sejadah depa nak solat juga, Alhamdulillah…..solat kat public ni macam dakwah pun ada sebab kadang-kadang orang malas nak solat rasa nak qada je sebab time dok kalut nak take off bagai, tapi sebenarnya ada je masa kalau nak solat, samada hang malu ka dak nak solat tengah-tengah orang ramai tu jela. Kami selalunya buang perasaan malu kat manusia sebab kami lagi malu kat Allah kalau tak solat.

 

Tapi bila nampak orang lain solat macam ok je, orang lain pun, why not nak solat juga la. Lagipun orang Islam solat di public di OBERSEA bukan benda yang awkward pada masa kini. Orang Islam solat kat public di MALAYSIA memang benda yang luar biasa kan sebab kat mana-mana saja ada surau dan masjid. Kita kena faham maksud qada solat. Bukan boleh dengan berfikiran waras saja-saja nak qada solat…wallahualam.

Maka sampaila kami masuk dalam Mekah. Agak sesak jalanraya banyak kenderaan dan bangunan mall pun banyak. Sedih juga sebab Mall macam ni dah tentu akan mengganggu tumpuan Jemaah untuk beribadah di sini. Saya tak setuju bila kat Mekah ni banyak sangat pembangunan perniagaan, tahla rasa macam tak kena sebab kat sini lebih baik kita tumpu beribadah saja. Nak shopping, kat Malaysia pun boleh shopping.

 

Sedih juga sebab Mall macam ni dah tentu akan mengganggu tumpuan Jemaah untuk beribadah di sini. Saya tak setuju bila kat Mekah ni banyak sangat pembangunan perniagaan, tahla rasa macam tak kena sebab kat sini lebih baik kita tumpu beribadah saja. Nak shopping, kat Malaysia pun boleh shopping. Nak beli bag branded terbang la ke London ke, Itali ke shopping la kat situ saja, janganla nak shopping kat Mekah pula. Pendapat saya jela. Maaf kalau ada yang tak setuju.

 

Dari kejauhan nampak lampu putih dan dataran masjidil haram. Berdebar-debar rasa lain macam di dada. Orang lain ada tak rasa macam ni masa first time nampak depan mata. Rasa kagum, rasa teruja, rasa kerdil dan pelbagai lagi perasaan yang muncul. Masa ni terus baca doa nampak kaabah,

Maksudnya, Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Allah Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Agung . Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, Tuhan yang memerintah segala sesuatu, bagiNya segala pujian dan Dialah Tuhan yang berkuasa ke atas tiap-tiap suatu, ku mohon berlindung dengan Tuhan yang empunya rumah ini (Kaabah) daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur, sempit fikiran, rahmat Allah dan sejahteranya mencucuri ke atas Saidina Muhammads.a.w, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Ya Allah tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, kebaikan, dan tambahkanlah kurniaMu kepada sesiapa juga yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran dan kebajikan.

 

Pukul 10.00 malam bas kami pun berhenti di hadapan hotel kami iaitu Hotel Tharawat Al Andaloseya.

 

Jalan ni sesak dengan manusia dan meriah juga dengan kedai-kedai jualan sepanjang jualan, bling-bling mata sat. Macam boleh plan dah ni, nanti balik solat boleh singgah-singgah kat kedai-kedai sepanjang jalan nak ke hotel ni. Jaga hati jaga niat, jangan sampai habis solat nak cepat-cepat keluar sebab dok teringat nak beli barang kat jalanan ni. Dugaan dan ujian dalam bentuk jualan di jalanan pula ….kata P.Ramlee…”Cobaan…..ish ish cobaannnnn” mai tengok yang hampar kain lelong kat tengah jalan pula….”ish….sih….cobaan”.

Kat sini pun macam kami sampai Madinah juga. Mutawwif minta kami tunggu dulu atas bas sementara depa keluarkan bag-bag kami semua letak depan bilik hotel masing-masing dulu dan kunci bilik pun diserahkan dalam bas juga, taknak kalut-kalut kat lobi hotel. Bila dah dapat kunci bilik, kami kemudian kena berkumpul dulu kat lobi untuk dengar taklimat dari Petugas Andalusia yang dah menetap di Mekah.

Nama dia dah lupa tapi gaya dia macam Azwan Ali. Kami yang kepenatan diberi taklimat yang agak annoying sebab dia bagi taklimat yang melepaskan kemarahan kat kami disebabkan kelemahan dan kesalahan Jemaah yang lepas-lepas sebelum kami ni. Mungkin dia stress untuk handle Jemaah tapi nak buat macam mana kan kena bersabar je la, perangai orang ni memang macam-macam. Saya dok perhati je muka-muka rakan-rakan Jemaah yang lain, semua muka dah lain macam sebab dalam hati saya mesti orang lain pun ada rasa annoying juga ni.

 

Akhirnya, mutawwif maklumkan dalam whatsapp pukul berapa kami kena berkumpul semula kat lobi setelah masuk bilik berwuduk semua sebab kami akan terus buat tawaf, saie dan tahallul untuk sempurnakan umrah pertama kami ni. Saya antara orang pertama yang sampai ke bilik dulu. Tanpa buang masa terus saya siap-siap untuk nak ke Masjidil Haram. Kami beramai-ramai pun jalan menuju ke Masjidil Haram. Masa ni dah nak pukul 12 malam. Walaupun time tidur selalunya pukul 9.30 malam tapi tak rasa mengantuk pula, segar pula mata. Perasaan eksited mengatasi segalanya.

 

Dari hotel ke Masjidil Haram jaraknya dalam 300 meter. Tak jauh pun bagi saya. Takkan la dok travel selama lani jalan kaki berpuluh km setiap hari, ni nak jalan setakat 300 meter je pun nak mengeluh jauh pula. Sebelum saya nak ambil pakej Andalusia ni, ramai yang menakut-nakutkan kami kata hotel jauh, nanti penat, letih dan sebagainya sampaikan saya hampir-hampir nak cancel pakej ni.Tu kan hasutan syaiton nirojimm yang berupa bentuk manusia hahaha....

 

Rupanya kalau hotel jauh mana pun ok ja sebab kita tak perlu nak ulang alik balik buang masa ke hotel setiap solat fardhu, stay saja di masjid dan pelbagai aktiviti boleh buat kat dalam masjid terutamanya buat tawaf sunat.

 

Mana ada tempat lain yang boleh buat tawaf selain kat Masjidil Haram saja. Rugila asyik nak ligan dok dekat-dekat masjid dan akhirnya dok buang masa ulang alik pi balik hotel je. Bila balik Malaysia, saya cakap benda ni kat kawan-kawan, ada pula yang kata “hampa muda lagi kuat takpa la, ni yang orang tua-tua ni susah la”. Begitu pula…..jadi bagi pendapat saya, kita yang dah sampai sana janganlah bagi gambaran yang bukan-bukan dan susahkan orang yang dah plan nak pi sana. Jangan dengan kata-kata kita ni melemahkan semangat orang dah bersedia nak beribadat di sana. Apa pun bagila galakan dan sokongan sebab mana tau, pertolongan Allah ada saja di mana-mana tanpa kita sedar. Niat yang betul, usaha dengan niat dan berharapkan redha Allah, nanti percayala macam-macam magik yang berlaku walaupun benda yang sukar digambarkan dengan kepala otak kita.

 

Bagi je galakan bagi semua orang sampai sana, janganlah menakut-nakutkan sebab hati ni senang sangat nak berubah-ubah. Seberat mana pun, sejauh mana pun, sesusah mana pun, kat sana, setiap orang tak sama. Kalau Allah nak permudahkan urusan ni alahai senang je tak terasa apa pun.

 

Kalau dekat sampaikan turun hotel pun tak pakai kasut dah terus sampai dataran tu pula, kalau Allah tak izinkan dia solat di masjidil Haram pun sampai kesudahnya solat dalam bilik saja walaupun tingkap bilik dia view kaabah. Saya bercakap ini melalui pengalaman yang terjadi. Inilah yang jadi bila saya jumpa sorang makcik Malaysia setiap subuh dia seorang je yang ada, kebetulan kami asyik bertembung padahal Jemaah masjid ada 2 juta. Dia mai dengan anak, menantu dan kawan-kawan menantu. Depa stay kat hotel yang view kaabah ni la tapi cuma dia sorang je solat kat masjid. Saya pun hairan macam mana kami asyik bertembung sedangkan manusia kat masjidil Haram ni memang ramai gila. Dia dah tua dan jalan pun bertongkat sorang-sorang sedangkan family dia tak dak pun bersama-sama dia solat bersama-sama. Dia cakap, masa dia keluar dari bilik turun ke dataran ni, family dia masih lena diulit mimpi. Selalunya lepas solat, saya akan pimpin dia berjalan sampai keluar la sebab orang ramai sangat dan dia jalan bertongkat sorang-sorang macam bahaya pula kan sorang-sorang macam ni.

 

Sambungan kami nak buat umrah pertama kalinya. Kami jalan kaki dari hotel sambil bertarbiah menuju ke Masjidil haram. Sebelum masuk ke dalam Masjidil Haram, Ustaz memberikan penerangan tentang perjalanan umrah. Kami akan ikut pergerakannya dari belakang. Berkemungkinan ada jemaah akan terputus dari kumpulan sebab agak ramai jemaah yang melakukan tawaf. Masa ni jujur saya cakap, saya takut dan rasa berdebar-debar sangat sebab manusia ramai gila, nak jaga niat bertawaf, nak ikut group, bersesak dengan ramai manusia mencelah-celah sambil tak mau terpisah dengan group, dengan sibuk nak berdoa lagi.

Orang negara lain lagi besar saiznya dari orang Malaysia. Huhu.. Andai berpecah, Ustaz berikan lokasi untuk berkumpul sebelum memulakan Sa'i di Bukit Safa dan Marwah. Pihak Masjidil Haram ada sediakan plastik untuk menyimpan kasut masing-masing. Ada jemaah yang tinggalkan je kasut di ruang luar Masjidil Haram dan ada juga yang membawanya masuk kerana terdapat rak kasut yang disediakan di dalam. Sebaik-baiknya bawa masuk kasut kerana lantai di Masjidil Haram akan dibersihkan secara berkala dan berterusan. Jadi kalau ada kasut atau selipar yang ditinggalkan di luar, mereka akan tolak sekali kasut yang ada kat situ. Jenuh nak mencari nanti. Huhu..

Banyak pintu untuk masuk ke dalam masjid dan setiap pintu mempunyai nama dan nombor. Untuk memudahkan pergerakan, ingat nombor atau nama pintu yang kami masuk supaya senang mencari jalan untuk keluar nanti. Kami melalui pintu nombor 88 melalui antara King Fahd Gate dan King Abdul Aziz Gate. Kat pintu 88 tu ada sign ladies tapi semua laki pun masuk ja buat tak tau termasuklah kami semua hehehe.... Ruang solat di dalam Masjidil Haram amatlah besar. Di bahagian tengah masjid kelihatan Kaabah dan ramai jemaah sedang melakukan tawaf.

Dan nampaklah depan mata sekarang kain hitam kaabah. Perasaan lain macam time ni, rasa ketat dada macam mana tah. Air mata pun kenapa takdak harga sekali, laju je.

Sukar untuk digambarkan perasaan apabila pertama kali melihat Kaabah di depan mata. Sebelum ni hanya tengok kat dalam tv atau internet je. Rasa macam mimpi pun ada juga. Alhamdulillah, bersyukur sangat bila diberi peluang untuk melihat dan mengelilingi Rumah Allah. Inilah kiblat bagi umat Islam seluruh dunia solat setiap hari.

Doa melihat Kaabah dibaca dan kami berjalan berkumpulan masuk ke kawasan tawaf. Penanda tawaf bermula dari lampu berwarna hijau yang tergantung di dinding masjid.

 

Boleh nampak dengan jelas dari kawasan tawaf sebab ada beberapa lampu diletakkan di situ. Maka perjalanan umrah pertama kami pun bermula.

Kami ikut je apa yang ustaz baca, kami ikut baca sekali tapi bila keadaan ramai dan sebenarnya tak berapa nak dengar sangatla melainkan dok betul-betul sebelah dia. Yang syoknya bila mai group lain yang dok sebelah kita baca doa, kita pula ikut sekali baca doa dari group lain. Tapi sebenarnya tak ada bacaan khusus pun ketika tawaf. Saya dengar dari khusus umrah, kalau habis tak tau dah nak baca apa, zikir je dan kalau tak tau nak zikir sangat minta doa ja masa dok keliling kaabah tu. Bayangkan kita berdoa masa di sebelah kaabah tu.

Maka selesaila 7 kali tawaf kami, ustaz minta kaum hawa solat sunat di kawasan wanita di dataran tu, dia bagi masa dalam 10 minit kat kami nak doa ka nak nangis ka ikut la. Kaum adam ikut dia tak tau depa solat kat mana. Bagi saya la kan Kaabah ni macam magnet. Bila dok depan kaabah ni, mata kita cuma tumpu pada kaabah ja. Fokus kita pun cuma dengan tuhan. Saya tak peduli kat jemaah lain, kat mr. soulmate atau orang di sekeliling saya, saya menangis dan berdoa je time ni.

Time ni perasaan hiba dan sayu datang bertimpa-timpa dan air mata serius macam ayaq terjun. Syukur sangat kenapa pendosa macam saya boleh mai ke sini bawa dosa yang banyak sekali tapi dapat jadi tetamuNya di sini. Nikmat Allah apakah yang kita nak dustakan lagi. 

 Dalam khusyuk dok doa tetiba dengar suara mr. soulmate. Rupanya group kami dah nak berangkat buat saie pula. Sambil jalan menuju ke bukit Safa, kami sempat juga nak bergambar buang sekeping dua dan minta orang ambilkan gambar kami sekali berlatar belakangkan kaabah. Kemudian kami sama-sama jalan kaki ke Bukit Safa ikut mutawwif.

Suara mutawwif kami pelan, tak berapa dengar tapi takpa kat skrin kat atas tu ada doa menuju ke Bukit Safa, boleh baca kat skrin je. Tak dak buku pun tak pa sebab kita boleh baca doa kat skrin yang disediakan.

Maka jalanla kami beramai-ramai dari Safa ke Marwah sebanyak 7 kali dan sampaila kami nak tahalul pula. Ustaz kata kalau mai suami isteri lebih baik suami yang gunting rambut isteri tapi sebelum tu, suami kena tahalul dulu la. Ustaz gunting rambut dia dulu dan kemudian dia gunting rambut mr. soulmate dan kemudian kami ke tempat sudut dari crowded dan barula mr.soulmate gunting rambut saya.

Kat sini kena hati-hati, kaum hawa jangan over pula nak gunting rambut sampai angkat tudung nampak rambut kat orang ramai. Masa ni makcik 2 beradik roommate saya, depa sampai nak tanggalkan tudung pula. Jenuh saya dok bertempik “makcik…jaga aurat…makcik jaga rambut jangan bagi nampak”, alahai depa ni angkat juga tudung sampai nampak rambut dekat orang semua. So, depa kena bayar dam sebab buka aurat masa saie.

Saya tanya mr. soulmate, nampak tak makcik *** buka tudung tu. Dia kata nampak rambut makcik *** tapi cepat-cepat toleh ke lain la. Boleh je nak selamat gunting rambut kat hotel tapi disebabkan kita nak cepat habiskan umrah, sebab tu nak tahalul kat tempat saie juga. Boleh ja masuk gunting dalam tudung, ambik rambut sikit je dan guntingla rambut dalam tudung juga.

Gunting saya akhirnya di pass sampai habis group kami sampai ke group orang lain dan sampai mana tak tau. Depa tanya nak balik ka gunting, saya kata takpa wakaf la untuk orang tahalul kat sini jela. Kat sini kena ligan buat baik dan ligan buat pahala.  Contoh jual 1 kuih di Malaysia dapat rm1.00, tapi jual 1 kuih di mekah dapat rm100,000.00. Kalau nak kaya cepat, pulunla jual kuih banyak-banyak. Bukan senang nak mai sini nak jual kuih ni hehehe faham ke tak hehehe…. Habis je Tahalul, kami beramai-ramai pulang ke hotel.

Sampai masuk bilik baru terasa badan penat. Masa ni dah pukul 3.00 pagi. Ada lagi sejam kalau nak tidur sebelum bangun semula untuk subuh. Tah bila saya pun tak sedar nyenyak dibuai mimpi dah, dan bangun semula pukul 4.00 pagi. Bangun mandi segarkan badan dan berwuduk, kemudian kami keluar jalan kaki ke Masjidil Haram untuk solat subuh. Walaupun tidur cuma sejam tapi mata segar kembali tak rasa mengantuk pun. Bersemangat nak tunaikan solat fardhu yang pertama di sini. Semangat dia lain macam tau, nak solat fardhu kat masjidil Haram buat pertama kalinya...ahhhh best...seronok sangat.

 

.......bersambung......

 

Tiada ulasan: