Ahad, 19 Disember 2021

Day 4 Umrah

 Day 4, 

 

 Selesai solat Subuh saya balik ke hotel untuk breakfast dan bersiap. Pagi ni ada program ziarah luar Madinah. Antara aturcara program adalah melawat masjid dan tempat bersejarah yang ada di sekitar Madinah dan ke ladang kurma. Jam 7.30 pagi kami kena berkumpul di lobi hotel. Sebelum turun, ustaz pesan supaya semua berwuduk kerana dari tempat tinggal ke Masjid Quba dalam keadaan wuduk dan mengerjakan solat sunat di situ pahalanya seumpama sekali umrah. Ustaz dah maklumkan dalam group whatsapp. Jangan lambat, nanti kena tinggal. Hehe..

 

 

Jam 7.00 pagi kami dah ada di lobi hotel menunggu jemaah yang lain. Bila semua jemaah dah ada, Ustaz beri penerangan tentang aktiviti hari ni. Ada banyak masjid bersejarah di sekitar Madinah, Sebolehnya ustaz nak singgah semuanya supaya kami boleh merasai suasana dan gambaran yang akan ustaz terangkan kepada kami nanti tetapi tak kesemuanya kami akan singgah. Alhamdulillah. Jam 7.35 pagi bas yang akan bawa kami dah sedia tunggu di luar hotel. Macam biasa, seat depan jadi pilihan saya tapi rupanya ada Jemaah lain pun berebut seat depan juga sebab yang kaki ambil gambar la yang rebut tu hehehe……

 


Jam 8.00 pagi bas mula bergerak. Cuaca pagi ni amat cerah. Walaupun ada cahaya matahari, suhu agak sejuk juga. Ustaz mula menerangkan laluan perjalanan kami. Bagus juga duduk depan, dapat dengar dengan jelas apa yang ustaz terangkan. Alhamdulillah kami dapat mutawwif yang banyak pengetahuan sirah dan cara penyampaiannya pun sangat terkesan menusuk kalbu seolah-olah kita pun sama berada pada zaman nabi. Beruntung kami dapat mutawwif yang berpengetahuan luas macam ustaz Murtadho, nanti jangan lupa bagi tips atau sedekah sebab ilmu yang dicurahkan hehehehe….




 

Destinasi pertama kami adalah ke Masjid Quba. Tapi sebelum sampai ke sana kami akan melalui 2 masjid yang juga mempunyai sejarah semasa zaman Rasulullah. Masjid pertama yang kami lihat ialah Masjid Ijabah (dahulunya Masjid Bani Muawiyah) yang terletak tidak jauh dari Masjid An-Nabawi. Di masjid ini 3 doa telah dipanjatkan oleh Rasulullah dan 2 daripadanya dimakbulkan Allah.


 Di masjid ini 3 doa telah dipanjatkan oleh Rasulullah dan 2 daripadanya dimakbulkan Allah. Doa yang pertama Rasulullah memohon agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan kekeringan dan kelaparan. Doa kedua Rasulullah memohon agar umatnya tidak ditenggelamkan. Kedua-duanya dimakbulkan Allah. Cuma doa Rasulullah yang ketiga iaitu agar tiada permusuhan dan fitnah sesama umatnya tidak diperkenankan Allah. Wallahua 'alam..

 

 Sebelum sampai di Masjid Quba, kami melalui satu lagi masjid yang bersejarah iaitu Masjid Jum'ah. Di masjid inilah berlakunya peristiwa bersejarah yang hingga kini umat Islam melakukannya iaitu solat Jumaat. Rasulullah pertama kali menyampaikan khutbah Jumaat di masjid ini. Sebelum itu Rasulullah berada selama 4 hari di Quba untuk mendirikan masjid. Selesai pembinaan Masjid Quba, Rasulullah berhijrah ke Madinah dan singgah di Masjid Jum'ah yang terletak di wilayah Wadi Ranuna untuk mengerjakan solat Jumaat yang pertama kali dalam sejarah Islam. Ketika itu Masjid Jum'ah hanya didirikan dengan pecahan batuan. Struktur lama dirobohkan dan masjid baru yang besar dan cantik dibina seperti yang kami lihat pada hari ni.

 

Selepas meninggalkan Masjid Quba, bas kami berhenti di satu kawasan parking dan mutawwif kami minta semua Jemaah turun bas sebab dia nak bercerita suatu peristiwa dinamakan sebagai Perang Khandaq atau Perang Parit atau Perang Ahzab. Mutawwif minta kami semua turun supaya kami boleh merasai suasana di situ dan bukan sekadar dok atas bas, tak rasa sangat feel tu. Masjid dan benteng Khandaq adalah salah satu peninggalan Nabi Muhammad SAW di Madinah. Khandaq berarti parit. 

 

Dalam sejarah Islam, Khandaq adalah peristiwa penggalian parit untuk benteng pertahanan melawan kaum kafir Quraisy bersama sekutu-sekutunya yang mengepung Madinah. Parit yang dalam itu ternyata mampu menahan serangan kaum Quraisy yang jumlahnya lebih banyak dibanding umat muslim waktu itu. Allah telah menghantar angin kencang lalu merosakkan khemah serta peralatan perang musuh sehingga memaksa pihak musuh berundur

 


 

Seronok kami khusyuk dengar cerita ustaz. Kami kemudian sambung lagi perjalanan ke Masjid Qiblatain.

 

Masjid Qiblatain

Seterusnya kami melalui satu lagi masjid yang mempunyai sejarah kepada umat Islam iaitu Masjid Qiblatain. Inilah satu-satunya masjid yang mempunyai 2 arah kiblat pada zaman Rasulullah.

 

 Pada awalnya masjid ini berkiblatkan Masjid Al-Aqsa yang terletak di Palestin. Kemudian pada suatu hari, ketika Rasulullah menjadi imam solat Zohor, Baginda telah menerima wahyu untuk menukar arah kiblat ke Masjidil Haram di Mekah. Waktu tu baru selesai rakaat kedua, dan Rasulullah terus mengubah arah 180 darjah menghadap Masjidil Haram. Para jemaah juga berpusing mengikut arah imam tanpa memberhentikan solat. Sejak dari kejadian itu, kiblat bagi umat Islam hanya ada satu je iaitu menghadap Kaabah di Masjidil Haram. 

 

Peristiwa ini membuatkan kaum Yahudi dan Nasrani mempermainkan umat Islam kerana mengubah arah kiblat. Namun disebaliknya mereka khuatir kerana dengan perubahan kiblat ini menandakan ada perbezaan di antara umat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.

Sekali lagi ustaz minta kami semua turun dan berjalan ke arah masjid ni sambil ustaz mengceritakan sejarah Masjid Qiblatain ni. Bagus kan mutawwif kami, dia nak kami semua merasai pengalaman pijak tanah di sini dan bukan sekadar dengar cerita melalui atas bas semata-mata. Kata ustaz dulu masih ada tanda arah kiblat ke Al-Aqsa tapi pihak kerajaan Arab Saudi dah buang tanda kiblat tu kerana ada sebahagian puak tak berapa nak betul ni pi solat tala ke Palestin pula dan bukan ke arah Kaabah.

Kadang-kadang tempat bersejarah yang lain pun sama depa memuja-muja dan melakukan perkara syirik dan khurafat pula dan sebab tu segala aktiviti macam tu, pihak kerajaan Arab Saudi terus buang dan tak bagi dah kita melawat tempat tu. Rugila kita yang dah sampai dan tau sejarah pasal kawasan tu dan tak boleh nak melawat dah.

 

Masa kami jalan balik ke bas tetiba bas kami dah hilang sebab kawasan tu bas tak boleh berhenti. Bas kami kena buat satu lagi pusingan nak ambil kami. Kebetulan kat situ ada kedai runcit. Kami pun semua pakat masuk shopping dalam kedai runcit tu. Jualan yang menarik perhatian kami pelbagai jenis buah zaitun,

 

Bas meninggalkan Masjid Qiblatain menuju ke ladang kurma. Excited juga sebab sebelum ni tak pernah tengok pokok kurma depan mata. Huhu.. Tak sampai 10 minit perjalanan, kami tiba di Ladang Kurma Majed. Masuk je pintu utama terus nampak pekerja kedai yang agak ramai menjual macam-macam jenis kurma. Kalau dah kat sini ada jual kurma, kenapa nak ke pasar kurma lagi lepas ni. Mungkin harga kat sini mahal berbanding di pasar kurma agaknya.

 

Kami keluar ikut pintu belakang untuk ke ladang kurma. Walaupun tak berapa besar ladangnya, tapi jadilah untuk saya dapat pengalaman pertama kali dalam hidup melihat dan memegang pokok kurma. Sekali imbas anak pokok kurma macam pokok kelapa sawit. Kurma memang hidup subur di bumi Arab. Lebih kurang 45 minit kami berada di sini. Saya pun beli kurma Ajwa yang dikirimkan kawan-kawan di sini.


Rupanya kurma Ajwa ni pun banyak gred, bila rasa semua satu per satu baru tau perbezaannya. Kalau rasa satu je takleh nak bezakan juga. Saya beli aiskrim pistachio dan fresh oren dan makan bawah pokok kurma sambil tunggu orang lain habis nak shopping. Pada firasat saya la kan, kalau bas yang bawa kita ke kedai-kedai jualan macam ni, harga dia jauh lebih mahal berbanding harga yang kita beli kat kedai biasa. Sama macam kat Hatyai.

 

Kalau bas berhenti kat kedai shopping, baik takyah shopping, tengok-tengok jela sebab harga dia lebih mahal dari kedai biasa. Macam kat sini, coklat timbang dan kurma agak mahal berbanding kedai yang di tepi-tepi masjid. Nanti balik solat on the way nak balik hotel boleh borong lagi kedai-kedai kurma dan coklat. Sebagai pengguna bijak, yang pertama sekali kita kena survey harga kat kawasan berdekatan kita dulu dan barulah kita boleh tau harga kat mana lebih murah dan mahal. Kalau dah tau harga kat area hotel atau masjid berapa harga dia, ni kat ladang kurma bolehlah buat perbandingan harga dan mengikut data survey yang telah saya buat.

 

Ladang kurma bani Hashim

Harga kat ladang kurma lebih mahal lagi dari kedai-kedai kat area masjid dan hotel. Ok sekian hehehehe…..

Kemudian kami keluar dari Ladang Kurma Majed untuk ke destinasi seterusnya iaitu Makam Syuhada Uhud. Ladang kurma tinggal menjadi kenangan. Tak dapat pergi ladang unta, dapat ke ladang kurma pun jadilah. Ladang unta agak berbahaya nak singgah kerana penyebaran virus MERS-CoV. Apa boleh buat, dah takde rezeki nak tengok unta kerana faktor kesihatan. Mungkin ada hikmahnya di situ. Wallahu 'alam..

 





Simpan dalam blog laluan bas awam ke Bukit Uhud sebab nanti nak diy mai sendiri, boleh naik bas sendiri ke sini nanti.

MAKAM SYUHADA UHUD

Dalam bas ustaz tak berhenti-henti bercerita kisah sirah-sirah zaman nabi dan kami semua macam kanak-kanak tadika yang khusyuk dengar cikgu bercerita kat depan tu. Kadang-kadang kita lebih faham orang cerita depan muka direct daripada orang bercerita dalam fb kan hehehe….cerita melalui pembacaan ni agak kurang masuk sikit berbanding cerita face to face tu, rasa real tu lain sikit sebab bergantung pada emosi dan pengahayati individu.

 

Sudahnya bas pun sampai di kawasan Makam Syuhada Uhud. Sebaik kami tiba di kawasan perlembahan kaki Bukit Uhud, hati saya tiba-tiba menjadi begitu sayu tatkala mutawif memulakan kisah Perang Uhud dengan meminta jemaah membaca surah al-Fatihah untuk disedekah kepada syuhada yang syahid di medan tempur Uhud. Pemandangan berhampiran Bukit Uhud yang sudah dibina masjid untuk kemudahan pengunjung mendirikan solat dan berehat.

 

Bukit Uhud adalah simbol kepada siri peperangan yang dilalui Rasulullah SAW bersama sahabat baginda dahulu demi menegakkan ajaran agama Islam. Peperangan Uhud adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam di mana perang ini tercetus kerana kaum kafir Quraisy ingin membalas dendam terhadap kaum Muslimin di atas kekalahan mereka ketika Perang Badar. Nama perang ini diambil dari lokasi peperangan yang dikelilingi oleh Jabal Uhud. Dalam peperangan ini, kaum muslimin hanya dalam 1000 orang menentang musuh dari kaum Quraisy yang seramai 3000 orang. Daripada 1000 orang, 300 orang telah tarik diri kerana termakan hasutan. Jadi tinggal la 700 orang untuk berperang dengan musuh yang lebih 4 kali ganda ramainya.



Bukit Uhud, Madinah

Selepas itu, terlintas nama Saidina Hamzah bin Abu Talib yang digelar Rasulullah sebagai ‘Assadullah’ atau ‘Singa Allah’. Malah, beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Assadul Jannah’ atau Singa Syurga. Namun gelaran paling popular yang sering diulang sebut oleh Rasulullah pada dirinya ialah sebagai ‘Penghulu Para Syuhada’. Gelaran itu disebut sendiri oleh Rasulullah apabila Saidina Hamzah gugur dalam Perang Uhud itu. 

 

Sesekali air mata tanpa disedari mengalir perlahan tatkala ustaz asyik dengan penceritaannya. Ingatan saya nyata lebih banyak terarah kepada kisah Saidina Hamzah yang gugur syahid itu.

Jemaah yang mengikuti umrah di Madinah melihat kesan peninggalan perjuangan Nabi Muhammad. Selesai mutawif menceritakan secara ringkas kisah Perang Uhud, kami berkesempatan melihat persekitaran kawasan lembah kaki Bukit Uhud. Saya tak naik Jabbal Rumat, cuma tengok dari kejauhan saja.

Jabbal Rumat yang Rasulullah tempatkan kumpulan 50 pemanah. Dalam sejarah, dinyatakan dengan jelas bahawa 40 orang daripada kumpulan pemanah itu turut turun ke kawasan lembah bukit bagi sama-sama meraih harta tinggalan tentera musuh. Ini bertentangan dengan apa yang diperintahkan Rasulullah sebelum tercetusnya perang supaya kumpulan itu tidak sesekali meninggalkan kawasan puncak bukit itu.

Kumpulan pemanah yang dipimpin Abdullah bin Jubair itu adalah ‘senjata rahsia’ yang digarap Rasulullah dalam usaha menggempur kekuatan pasukan musuh. Senjata rahsia itu pada peringkat awalnya menunjukkan keberkesanan yang jitu. Bagaimanapun, akibat kecuaian dan ‘terlupa’ pada pesanan Rasulullah, tentera Islam kemudian kembali berada dalam kekalutan yang memeritkan.

Perang Uhud ini turut memberikan banyak pengajaran seperti sekuat manapun strategi yang diatur, seandainya kepatuhan ahli pasukan tidak kental, maka ia akan membawa musibah besar. Patuh kepada pemimpin adalah pengajaran utama kepada kita apabila berada di persekitaran Bukit Uhud.

Kini, selepas lebih 1,400 tahun Perang Uhud berlalu, masyarakat Islam dari seluruh penjuru alam kembali untuk berziarah bagi mengenang kembali apa yang pernah dilalui Rasulullah bersama sahabatnya.

 


@ Mount Uhud

Kami turut tidak melepaskan peluang untuk berada di pinggiran sisi perkuburan syuhada Perang Uhud yang terletak di bawah kaki Bukit Uhud.

“Jika kita hendak melihat bukit yang terdapat di surga, maka ziarahlah ke Bukit Uhud. Nabi SAW bersabda, 'Bukit Uhud ialah salah satu dari bukit-bukit yang terdapat di surga'," demikian hadis yang diriwayatkan HR Bukhari.

Bukit Uhud atau Jabal Uhud ialah sebuah bukit berjarak 5 kilometer di sebelah utara Kota Madinah dengan ketinggian sekitar 1.077 meter di atas permukaan laut. Bukit ini selalu diingat oleh umat Islam sebab di lembah gunung ini pernah terjadi pertempuran besar antara pejuang Islam dan kaum kafir Quraisy pada 15 Syawal 3 Hijriah yang mengakibatkan 70 pejuang Islam mati secara syahid termasuk Saidina Hamzah bin Abu Talib.

Hamzah merupakan bapa saudara kepada Nabi SAW, umur mereka boleh dikatakan sebaya. Mereka membesar bersama dan menyusu dari ibu susuan yang sama. Nabi SAW amat kasih kepada teman sepermainannya itu sejak kecil lagi.

Ketika perang Badar, Hamzah antara pahlawan terulung yang sangat digeruni musyrikin Quraisy. Beliau sengaja meletakkan tanda merah di dadanya, supaya dikenali oleh semua musuh. Ramai cuba membunuhnya, tetapi semuanya menemui ajal di hujung mata pedang Hamzah.

Dalam Perang Uhud, kepahlawanan Hamzah juga mengujakan. Ketika umat Islam dalam keadaan kelam kabut setelah diserang hendap dari belakang, Hamzah bersuara lantang:

“Aku singa Allah dan singa Rasulullah. Aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh musyrikin. Dan aku memohon ampun dari apa yang dilakukan oleh orang Islam (berpecah dari Nabi.)”

Beliau kemudian meluru ke arah musuh, menghayunkan pedang kiri dan kanan, terus maju tanpa mundur, dan akhirnya rebah menemui syahid diserang hendap oleh seorang bernama Wahsyi. Kali ini giliran musyrikin bergembira dengan kematian orang yang paling mereka benci.

Jasad para syuhada dipotong-potong, dibelah perut dan diperlakukan dengan begitu dahsyat, terutama jasad Hamzah bin Abdul Muttalib. Hindun membelah dada Hamzah dan meratah hatinya, tetapi tidak mampu ditelan.


Umat Islam terutama Rasulullah SAW pula tersangatlah sedih. Sehingga baginda SAW bersumpah akan melakukan perkara sama terhadap 70 orang musyrikin di masa akan datang. Walaubagaimanapun pantas turun wahyu Allah berfirman:

“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

[al-Nahl:126]

Rasulullah menarik balik sumpahnya dengan kaffarah. Kemudian baginda memerintahkan jasad-jasad umat Islam dikumpul dan dikebumikan sekaligus. Yang paling banyak menghafal al-Quran diletakkan paling hadapan. Selesai mengebumikan semuanya, baginda bersabda:

“Aku menjadi saksi kepada semua mereka, bahawa tidak ada satu luka pun yang terjadi di jalan Allah, melainkan luka itu akan terus berdarah di hari mereka dibangkitkan. Warnanya masih warna darah, tetapi baunya berbau kasturi.”

Perjuangan Islam memerlukan watak anggotanya yang pelbagai supaya melengkapi antara satu sama lain. Perlu ada orang yang mewarisi kepahlawanan dan keberanian singa Allah seperti Hamzah di setiap zaman. Orang seperti beliau menjadi pembakar semangat untuk umat Islam turut merasa izzah dalam apa jua keadaan, tidak takutkan sesiapa kecuali Allah.

Cerita ustaz sangat menusuk kalbu kami yang turut berada di tempat kejadian. Kami kemudian balik semula ke bas tapi malangnya banyak sangat dugaan kedai-kedai jualan di situ yang menyebabkan kami yang orang awal sampai di bas terpaksa tunggu lama orang-orang yang shopping di situ termasuklah family tour leader Andalusia (family dia selalu lambat, setiap singgahan mesti depa orang terakhir yang naik bas, sabar jela). Time tu kami nak kejar balik semula ke hotel sebab lagi 20 minit nak masuk waktu zohor takut nanti ketinggalan tak sempat nak solat fardhu zohor di Masjid An-Nabawi.

 







Selesaila ziarah luar di Kota Madinah hari ni dan Alhamdulillah sempat juga kami berlari-lari anak dan solat Jemaah Zohor di masjid An-Nabawi. Geram juga kat family tour leader ni suka buat kami Jemaah yang lain tunggu depa. Nak shopping boleh tapi janganla sampai makan masa dan menyusahkan orang nak tunggu depa. Mentang-mentang family tour guide suka hati je menyusahkan Jemaah lain. Mutawwif kami pun tak boleh nak tegur sebab Tour Leader Andalusia sendiri juga. 

 





So petang ni memang kami tak dak plan apa-apa pun, habis Asar saya ajak mr.soulmate jalan-jalan keliling Masjid Nabawi sebab saya teringin sangat nak tengok kubah hijau. Mr.soulmate agak keberatan sebenarnya tapi saya beriya ajak juga-juga sebab esok kami dah nak bertolak ke Mekah dan bila lagi nak sampai di sini lagi kan.


Selepas isya saya nak masuk Raudah lagi dengan makcik tapi tak diizinkan mr.soulmate sebab takut penat esok dah nak buat umrah wajib kami. Mr. soulmate nak saya rehat secukupnya hari ni dan bersedia esok untuk buat umrah pertama kami. Saya akur saja. Bila bagitau makcik tak jadi pi Raudah, dia pun ok sebab dia pun rasa penat juga. Penat dia bukan apa sebab orang dok bertolak-tolak tu yang penat sangat tu, tambah-tambah dia yang kecik molek ni lagi seksa.


Esok pagi kami ada majlis Tahlil untuk arwah dan kami collect duit buat kenduri nasi daging Unta juga.Tak sabar nak rasa daging unta, ni first time nak rasa.

End Day 4

 

Tiada ulasan: